Khamis, 18 Jun 2009

....konon bermulanya al kisah......

Diceritakan oleh orang-orang lama yang menetap di Bagan Serai berkaitan asal usul nama Bagan Serai adalah berdasarkan cerita-cerita lisan yang tiada sumber asalnya. Salah satu versi cerita yang didengar seperti berikut:

Pada zaman sebelum kedatangan penjajah Inggeris ke Tanah Melayu, ramai pendatang dari tanah seberang (Indonesia) berhijrah ke sini termasuk ke daerah Kerian. Salah satu kumpulan/gerombolan yang suka merantau ialah suku kaum banjar dari daerah banjarmasin di Kepulauan Borneo. Dengan menyusuri jalan laut di persisir pantai Pantai Barat Semenanjung Tanah Melayu mereka telah singgah di pantai berhampiran pekan Kuala Kurau. Daripada muara Sg. Kurau di Kuala Kurau mereka telah menyusuri sungai tersebut mudik ke hulu. Di sepanjang sungai mereka mencari satu tempat persinggahan yang sesuai untuk berehat sehinggalah bertemu sebuah tempat yang bersesuaian pada pandangan mereka, dan terus berlabuh disitu.

Di tempat berlabuh tersebut didapati terdapat banyak rumpun pokok serai tumbuh di pinggiran sungai tersebut (sekarang tempat tersebut adalah di Jalan Jetty Pekan Bagan Serai). Dari situlah timbul ilham mereka memberi nama tempat tersebut sebagai ‘ Bagan Serai ‘, dimana bagan bermakna tempat tumpuan atau berhimpun orang ramai. Disitulah mereka meneroka tanah dan menjalankan pelbagai aktiviti kehidupan seperti bercucuk tanam, berniaga dan segala urusan masyarakat.
Dengan itu nama Bagan Serai kekal digunakan sehingga sekarang dan kaum etnik Banjar adalah anatar etnik kaum terbesar di Mukim Bagan Serai.
Moto popular kaum banjar: “Kayuh Baimbai”